Jumaat, 24 March 2017 | 11:12pm

Konsert PERMATA Seni 2017 pukau penonton


DATIN Seri Rosmah Mansor diiringi Tun Mohd Khalil Yaakob (dua dari kiri) dan Datuk Seri Idris Haron (kiri) beramah mesra bersama anak-anak Permata selepas persembahan Konsert Jelajah Permata Seni 2017 'Seni Merentasi Zaman' di Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir menyaksikan persembahan seni koir, tari dan muzik yang memukau serta mempesonakan oleh 143 anak berbakat Pusat Anak Permata Negara (PERMATA), di sini, malam ini.

Persembahan berlangsung selama 1 jam 30 minit di Auditorium Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Melaka itu menjadi pembuka tirai Konsert PERMATA Seni 2017: Seni Merentasi Zaman ke seluruh negara.

Turut hadir menyaksikan persembahan itu ialah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim serta Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang juga Pengarah Program PERMATA Seni, Tan Sri Norliza Rofli dan Pengerusi Jawatankuasa PERMATA, Datuk Seri Siti Azizah Abod.

Rosmah yang juga penaung Program PERMATA yang dilancarkan pada 11 Januari 2010 mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa termasuk menerima Anugerah Global Good Governance Award (3G) Children Welfare Award sempena 3G 2016, di Istanbul, Turki, tahun lalu.

Sementara itu, Norliza berkata, program PERMATA Seni cetusan ilham Rosmah itu bertujuan mengasah bakat seni anak muda berusia tujuh hingga 17 tahun.

Ia juga bertujuan memberi peluang kepada mereka dan ibu bapa mengenali program PERMATA Seni dengan lebih dekat sekali gus berupaya melahirkan modal insan cemerlang.

"Sudah tiba masanya program PERMATA Seni diperkenalkan di setiap negeri dan selepas ini akan diteruskan di Perak dalam tempoh terdekat.

"Bagaimanapun, kita perlu melihat kesesuaian waktu anak PERMATA Seni ini kerana akan membabitkan waktu persekolahan dan persetujuan ibu bapa untuk diteruskan ke lokasi seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, Idris turut menyifatkan persembahan seni itu begitu menakjubkan dan setanding dengan acara seni bertaraf dunia.

Barisan tenaga pengajar PERMATA Seni itu diketuai Pengarah persembahan konsert, Zulfarqar Awaluddin; koreografer tari, Muhammmad Akmal Ayob; konduktor koir yang juga artis tanah air, Syafinaz Selamat dan konduktor muzik, Mustafa Fuzir Nawi.

26 dibaca
DATIN Seri Rosmah Mansor bergambar kenangan bersama anak-anak Permata yang membuat persembahan selepas Konsert Jelajah Permata Seni 2017 'Seni Merentasi Zaman' di Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad
Antara persembahan kesenian dan kebudayaan pada Konsert Jelajah Permata Seni 2017 'Seni Merentasi Zaman' di Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad
Antara persembahan kesenian dan kebudayaan pada Konsert Jelajah Permata Seni 2017 'Seni Merentasi Zaman' di Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X