Rabu, 31 Disember 2014 | 3:47pm

Banjir: 529 tan barangan keperluan sudah diagih kepada mangsa - Hishammuddin

KAMPUNG GAJAH: Sebanyak 529 tan pelbagai barangan keperluan dihantar dari Pusat Pengumpulan Bantuan Bencana di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang ke kawasan banjir di seluruh negara sehingga hari ni.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penghantaran barangan berkenaan dibuat melalui 238 misi penghantaran membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 98 misi bukan pihak tentera.

"Ini sesuatu operasi yang luar biasa sebenarnya, tak pernah dilalui dalam sejarah ATM," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat banjir di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak di sini, sebentar tadi.

Hishammuddin berkata, pihaknya turut memutuskan tiga pusat kecil pengumpulan bantuan makanan akan beroperasi di Tambun di Perak, Batu Berendam, Melaka dan Alor Setar, Kedah.

Beliau berkata, selain menerima barangan dari pusat pengumpulan bantuan bencana di Subang, pusat kecil itu juga boleh menerima sumbangan daripada orang ramai.

Katanya, pusat kecil itu bagi memudahkan misi serahan bantuan kepada mangsa banjir dan lokasinya akan diumumkan kemudian.

Hishammuddin berkata, beliau meluluskan dana tambahan sebanyak RM10 juta bagi tujuan pemberian bantuan RM500 kepada veteran dan bekas tentera yang terjejas banjir.

"Dana RM6.9 juta melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) akan digunakan bagi membantu mereka termasuk membantu baik pulih dan bina rumah," katanya.

Beliau berkata, dianggarkan seramai 20,500 veteran dan bekas tentera terjejas banjir di seluruh negara terutama di Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini seramai 5,000 anggota ATM terbabit dalam operasi memberi bantuan banjir dan berharap bilangan sukarelawan terutama ketika pasca banjir terutama membersihkan kawasan mampu mencapai sehingga 10 kali ganda.

Berita Harian X