Jumaat, 24 March 2017 | 6:32pm

Pameran MATTA Johor bermula hari ini

PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong merasmikan Pameran MATTA 2017 di Ekspo Danga City Mall, Johor Bahru, hari ini. - Foto Nurul Amanina Suhaini

JOHOR BAHRU: Lebih 13,000 pengunjung dijangka memeriahkan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor di Expo@Danga City Mall di sini, bermula hari ini. 

Pameran tiga hari yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan dalam dan luar negara itu dijangka membawa pulangan jualan sehingga RM15 juta, membabitkan penyertaan lebih 35 syarikat pelancongan, hotel dan taman tema.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata pameran membabitkan 132 gerai itu diadakan dalam usaha merancakkan industri pelancongan negara.

Katanya, industri pelancongan adalah antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) banyak negara termasuk Malaysia. 

"Kerajaan negeri memandang berat pembangunan sektor pelancongan di Johor, malah Pelan Pertumbuhan Strategik negeri juga menggariskan kepentingan dan mencari potensi pelancongan di setiap daerah dalam Johor.

"Kerajaan menerusi Tourism Johor, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jawatankuasa Pelancongan Daerah juga merancang serta menyokong pembangunan kluster pelancongan mengikut panduan seperti mana yang dinyatakan dalam Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor (2014-2023).

"Hasilnya, banyak pembangunan pelancongan di setiap daerah giat dilaksanakan seperti projek Kembara Wangsa dan Desaru Coast di Kota Tinggi, pelancaran jenama pelancongan baru di Segamat serta projek warisan di Muar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran MATTA 2017 di Ekspo Danga City Mall, di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Presiden MATTA, Rohizam Md Yusoff.

Berita Harian X