Jumaat, 24 March 2017 | 5:30pm

Tak mengaku mengugut, curi

TERTUDUH, Tengku Shaiful Nizam Tengku Abdul Jalal, 37, dibawa anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan ugutan jenayah, mencuri serta menghalang penjawat awam ketika keluar dari Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap tiga pertuduhan melakukan ugutan jenayah, mencuri serta menghalang penjawat awam.

Tengku Shaiful Nizam Tengku Abdul Jalal, 37, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Rushan Abdullah, 60, di sebuah rumah di Taman Melaka Baru, Melaka, dengan menghunus dan melibas sebilah parang sambil berkata 'jangan main-main dengan aku' kira-kira jam 12 tengah hari, 10 November tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati mencuri sebuah jam tangan G-Shock warna hitam milik Amirulhusni Roslan di Hospital Melaka, pada jam 6.05 petang, 19 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam, Inspektor Saliman Salleh, 35, menjalankan tugas pada kira-kira jam 7.30 malam di lokasi dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria, yang mencadangkan jaminan RM20,000 ke atas ketiga-tiga pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Nik Norhaizun Che Mat, memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan yang rendah kerana tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap, tiada sumber pendapatan tinggi, menjaga dua orang anak serta menjaga ibu berusia 70 tahun.

Mohd Firdaus menawarkan jaminan RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X