Jumaat, 24 March 2017 | 4:38pm

Subromaniam KP baharu kastam


DATUK T Subromaniam. - Foto Mohd Azren Jamaludin

 

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam, dinaikkan pangkat Ketua Pengarah jabatan itu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, dalam satu kenyataan berkata Subromaniam menggantikan Datuk Seri Khazali Ahmad, yang bersara wajib.

Sebelum dilantik Ketua Pengarah, Subromaniam bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pematuhan dan Penguatkuasaan); Ketua Penolong Pengarah cawangan Siasatan dan Pengarah Kastam Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan.

Subromaniam berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik Nuklear dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari Universiti New Hampshire, Amerika Syarikat.

 

"Dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti dimiliki Subromaniam, beliau boleh melaksanakan tanggungjawab itu dengan berkesan dan mampu meneruskan visi Jabatan Kastam dalam menyediakan perkhidmatan kastam bertaraf dunia," katanya.

 

Subromaniam mula menyertai perkhidmatan Penguasa Kastam pada 29 Julai 1984 dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan pentadbiran, pengurusan cukai dan penguatkuasaan.

 

Berita Harian X