Jumaat, 24 March 2017 | 3:24pm

Bergaduh dengan teman lelaki, wanita maut ditikam


MAYAT wanita dengan kesan tikaman di lehernya ditemui dalam sebuah bilik sewa di Liang Kee Commercial Centre di Jalan Batu 4, Kuching, awal pagi tadi

KUCHING: Pergaduhan dengan teman lelaki membawa kepada kematian seorang wanita yang ditikam di lehernya di sebuah bilik sewa di Liang Kee Commercial Centre, Jalan Batu 4, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang berusia 25 tahun itu dan bekerja sebagai pembantu kedai ditemui terlentang berlumuran darah di atas tilam di dalam bilik tidurnya.

Polis turut menemui sebilah pisau dengan kesan darah berdekatan mayat yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata sebelum menemui mayat itu, polis menyoal seorang lelaki yang mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak kerana mengalami beberapa kecederaan di bahagian badannya.

Beliau berkata, lelaki berusia 25 tahun itu kemudiannya mengaku baharu sahaja menikam teman wanitanya selepas tercetus pergaduhan antara mereka di bilik sewa wanita terbabit.

"Bertindak atas maklumat itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan bergegas ke bilik sewa wanita terbabit dan menemui mayat wanita terbabit di bilik berkenaan.

"Berikutan itu, lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya..

357 dibaca
Berita Harian X