Rabu, 31 Disember 2014 | 2:37pm

Jumlah mangsa banjir di Johor naik, Perak, Kelantan, Terengganu turun

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan peningkatan tengah hari ini, Pahang kekal manakala Perak, Kelantan dan Terengganu menunjukkan penurunan berbanding pagi tadi.

Di JOHOR, jumlah mangsa terus meningkat kepada 181 orang daripada 44 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di Batu Pahat dan Segamat.

Di PERAK, jumlah di Perak Tengah, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Kerian dan Manjung turun kepada 7,273 orang daripada 1,975 keluarga berbanding 7,748 orang daripada 2,066 keluarga pagi tadi.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, jumlah mangsa di Perak Tengah kini seramai 4,921 orang, Kuala Kangsar (1,194 mangsa), Hulu Perak (797 mangsa), Kerian (321 mangsa) dan Manjung (40 mangsa).

Di KELANTAN, jumlah mangsa berkurangan sebanyak 14,488 orang kepada 96,259 orang tengah hari ini berbanding 110,747 malam tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Rahman, berkata di Tanah Merah terdapat 30,000 mangsa, Kota Baharu (24,077 mangsa), Tumpat (19,323 mangsa), Machang (7,514 mangsa), Gua Musang (6,493 mangsa), Kuala Krai (5,645 mangsa), Pasir Mas (3,015 mangsa) dan Pasir Putih (192 mangsa).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa menurun kepada 12,504 orang berbanding 15,975 orang pagi tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, daripada jumlah itu, Dungun menempatkan 6,225 mangsa, Kemaman (6,063 mangsa), Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu masing-masing kekal dengan 201 dan 15 mangsa.

Jumlah mangsa di PAHANG tidak menunjukkan perubahan iaitu 51,356 orang menyamai jumlah pagi tadi di 254 pusat pemindahan dari lapan daerah.

- BERNAMA

Berita Harian X