Khamis, 23 March 2017 | 10:32pm

Pengasuh bayi akan didakwa esok


SEORANG pengasuh akan didakwa di mahkamah esok berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ketika dalam jagaannya di Blok A Apartmen Impian Baiduri, Seksyen 51A, pada 15 Mac lalu.

PETALING JAYA: Seorang pengasuh akan didakwa di mahkamah esok berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ketika dalam jagaannya di Blok A Apartmen Impian Baiduri, Seksyen 51A, pada 15 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata suspek, Gloria Erren Liwie, 23, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat.

Katanya, wanita berkenaan sebelum itu ditahan di kediamannya sehari selepas kejadian sebagai suspek keempat untuk membantu siasatan polis dalam kes itu.

Selain itu, tiga individu lain yang turut ditahan adalah ibu kanak-kanak terbabit serta teman lelakinya, masing-masing berusia 22 dan 25 tahun serta suami suspek, berusia 24 tahun.

"Siasatan kes ini sudah lengkap dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan siasatan, ibu mangsa dan teman lelakinya serta suami pengasuh tiada kaitan dengan kematian kanak-kanak berkenaan dan sudah dibebaskan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak malang berkenaan didapati tidak sedarkan diri ketika di bawah jagaan suspek di Apartmen Impian Baiduri, Seksyen 51A di sini.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.40 petang ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, akibat didera.

Ibu mangsa yang bekerja sebagai juruwang dan menetap di Sea Park di sini, dikatakan menghantar anaknya itu ke rumah pengasuh kira-kira jam 1 petang.

Lebih kurang sejam selepas itu, ibu mangsa menerima satu mesej melalui WhatsApp daripada suspek mengatakan anaknya dalam keadaan tidak sihat, muntah serta badannya lemah.

Kira-kira jam 4 petang, ibu mangsa ke rumah pengasuh untuk mengambil anaknya sebelum mendapati kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri.

Wanita itu bergegas membawa anaknya ke PPUM, namun doktor yang merawatnya mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 5.40 petang.

Laporan bedah siasat PPUM mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat hentakan kuat di bahagian abdomen.

Berita Harian X