Khamis, 23 March 2017 | 9:41pm

Fazli tekad gegar Litar Tangkak


PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham. - Foto Amir Irsyad Omar

KUALA LUMPUR: Ahmad Fazli Sham tekad memberi tunggangan terbaik untuk memburu podium dan membantu pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mempertahankan gelaran pasukan terbaik dalam kelas perdana CP150.

Tekad itu disuarakan Fazli menjelang saingan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di litar baharu, Litar Lumba Tangkak, Johor pada Sabtu dan Ahad ini.

Naib juara CP130 musim lalu itu memilih untuk hanya beraksi dalam saingan Kejuaraan Cub Prix bersama rakan sepasukan, Kasma Daniel Kasmayudin dan Abd Muhaimin Roslan, berbanding turut beraksi dalam saingan Underbone di Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) pada musim lalu.

Ia bagi membolehkan pelumba berpengalaman yang juga juara dua kali kategori Expert 2007 dan 2008 itu memberi tumpuan sepenuhnya dalam saingan tempatan manakala tugas di saingan ARRC digalas dua pelumba muda, Haziq Fairuz dan Akid Aziz.

"Saya sudah beraksi dalam era dua lejang dan kemudian beralih ke era empat lejang. Sepanjang belasan tahun beraksi dalam kejuaraan ini, saya sudah memenangi perlumbaan dengan menggunakan jentera Yamaha SS, Yamaha 125Z, Yamaha Lagenda dan kini Yamaha Y15ZR.

"Banyak perbezaan dengan jentera 150cc ini jika dibandingkan dengan jentera dulu terutama dari segi teknologi dan pelarasan jentera, dan banyak perkara yang perlu saya pelajari. Namun, bukan itu sebab kenapa saya hanya mahu beraksi di dalam Cub Prix sahaja pada musim ini.

"Kasma menggalas tugas berat apabila akan beraksi dalam saingan Cub Prix dan juga di Kejuaraan CEV Sepanyol. Kemungkinan dia akan terlepas beberapa pusingan Cub Prix dalam usahanya untuk meraih kejuaraan kelas perdana buat tahun kedua berturut-turut.

"Hanya saya dan Muhaimin akan bersaing untuk mengutip mata kejuaraan bagi kategori berpasukan ketika ketiadaan Kasma dan kami perlu mengutip seberapa banyak mata mungkin.

"Strategi kami adalah memberi keutamaan untuk mengejar kedudukan berpasukan di dalam kelas CP150 ini," kata Fazli yang memulakan saingan musim ini dengan meraih tempat kedua di Temerloh, Pahang, awal bulan ini.

Berita Harian X