Khamis, 23 March 2017 | 7:15pm

Kanak-kanak terperangkap dalam kereta


ANGGOTA bomba berjaya membawa keluar kanak-kanak yang terperangkap dalam kereta bapanya di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Parit Buntar, petang ini. - Foto ihsan bomba

PARIT BUNTAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terperangkap 20 minit dalam kereta bapanya di tempat letak kereta sebuah pasar raya di sini, petang ini selepas pintu kereta berkenaan terkunci dari dalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, bapa kanak-kanak berkenaan sebelum itu membawanya ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan sebelum kereta jenis Perodua Viva dinaiki dipercayai terkunci sendiri ketika bapanya keluar.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, Abd Halim Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada bapa mangsa pada jam 5.24 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian, anggota mendapati terdapat seorang kanak-kanak perempuan terperangkap di dalam kereta berkenaan.

"Bomba berjaya membuka pintu yang terkunci dari dalam menggunakan dawai dan kanak-kanak itu berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Berita Harian X