Khamis, 23 March 2017 | 4:11pm

Desa Digital bantu usahawan kampung


DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada program Bicara Komuniti anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Hotel Premeira, Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar Wilayah (KKLW) akan mewujudkan Desa Digital bagi memperhebatkan penembusan jalur lebar di kawasan luar bandar, seiring perkembangan sektor e-dagang negara.

Sehubungan itu, sebanyak 16,000 kampung akan memanfaatkan peluang itu yang berupaya membantu pengukuhan ekonomi domestik.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya berhasrat bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi tujuan itu.

Beliau berkata, inisiatif memperhebatkan capaian jalur lebar di luar bandar bertujuan membantu usahawan desa sedia ada dan memulakan perniagaan bagi mempromosikan produk ke pasaran lebih luas.

"Desa Digital tertumpu kepada capaian jalur lebar yang menyasarkan penduduk kampung khususnya usahawan kecil dan sederhana serta generasi muda.

"Ia bagi menggalakkan penduduk luar bandar menambah pendapatan dengan menjalankan perniagaan dalam talian.

"Kita lihat usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sukar menembusi pasaran di pasar raya besar. 

"Justeru, apabila Desa Digital diwujudkan kelak, penggunaan jalur lebih menjadi luas sekali gus dapat membantu usahawan memasarkan produk," katanya pada sidang media selepas program Bicara Komuniti Transformasi Nasional 2050 (TN50) anjuran KKLW di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, KKLW bercadang mewujudkan akademi keusahawanan di luar bandar yang dinamakan Akademi Keusahawanan Luar Bandar Digital.

Katanya, semua cadangan berkaitan digital itu akan dirangkumkan dalam Dasar Luar Bandar sebelum dibawa untuk dibincangkan dalam konvensyen, Ogos depan.

Berita Harian X