Khamis, 23 March 2017 | 1:00am

Raja Zarith Sofiah dahului penerima darjah

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mendahului senarai 102 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini.

Baginda dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato' Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ), manakala Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Pertama (PSI I) dianugerahkan kepada semua lima anakanda pasangan diraja berkenaan.

Penerima lain PSI I ialah Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, manakala Raja Dihilir Perak, Datuk Seri Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DK II).

Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani dan Ketua Juruterbang baginda, Mejar Abu Samah Safie.

Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) pula dikurniakan kepada Pegawai Kewangan negeri, Nasir Salam dan Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Ishak Sahari.

51 terima pingat PSI II

Selain itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Abdul Rahim Nin; Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd; Panglima Markas 21 Gerup Gerak Khas, Mejar Jeneral Datuk Zolkopli Hashim.

Yang turut menerima SIJ, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Salehudin Hasan dan semua 10 pegawai daerah serta 15 lagi individu.

Seramai 51 individu menerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Kedua (PSI II), manakala lapan menerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Ketiga (PSI III).

Berita Harian X