Rabu, 22 March 2017 | 11:04pm

Perarakan 32 bot berhias meriahkan Langkawi


SULTAN Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) mencemar duli merasmikan acara perarakan bot berhias sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah ke-89 di Dataran Pekan Rabu Kuah, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, berkenan mencemar duli menyaksikan acara perarakan 32 bot berhias sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah ke-89 di Dataran Pekan Rabu Kuah, di sini, malam ini.

Baginda yang ditemani Sultanah Kedah, Sultanah Hajah Haminah Hamidun, tiba jam 9 malam.

Ia turut disertai kira-kira 5,000 penduduk tempatan dan pelancong asing. Turut berkenan berangkat, Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah bersama Raja Puan Muda Kedah, Tengku Maliha Tengku Arif.

Selain itu Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz dan Tunku Laksamana, Datuk Tengku Sarafudin Badlishah Tunku Sallehuddin turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan barisan EXCO negeri.Dalam perarakan anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi itu, sebanyak 32 buah bot daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat terbabit dalam perarakan yang julung kali diadakan itu.


BOT berhias daripada pasukan Taliworks Langkawi yang menyertai perarakan bot berhias sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah ke-89 di Dataran Pekan Rabu Kuah, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat, ketika ditemui berkata acara itu mendapat sambutan baik dari komuniti setempat dan pihaknya terpaksa membuat tapisan untuk mendapat penyertaan yang terbaik.

"Beberapa hadiah turut disediakan bagi pemenang dalam beberapa kategori yang dipertandingkan sepanjang acara berlangsung," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X