Rabu, 22 March 2017 | 8:03pm

Kepala budak tersepit celah tangga


ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan kepala kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang tersangkut di celah tangga di sebuah rumah di Taman Bercham Idaman. - Foto Ihsan Bomba

IPOH: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit selepas kepalanya tersepit di celah pemegang tangga sebuah rumah di Taman Bercham Idaman di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 petang itu, kepala Chong Jin Yi tersepit di celah hiasan pemegang tangga di antara tingkat bawah dan tingkat atas rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, P Sumasuvam berkata, pegawai dan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.31 petang.

"Bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan cara menarik kepala kanak-kanak itu perlahan-lahan sebelum badan mangsa dapat ditarik sepenuhnya.

"Operasi menyelamat mangsa mengambil masa kurang daripada dua minit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi menyelamat itu tamat kira-kira jam 6.51 petang tadi.

39 dibaca
Berita Harian X