Rabu, 22 March 2017 | 4:33pm
DELEGASI Malaysia yang melawat Loji Jana Kuasa Nuklear Ikata di Shikoku, Jepun, hari ini. - Foto Ihsan MNPC

Program nuklear: Perlu kaji penerimaan masyarakat

KETUA Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SHIKOKU: Antara aspek yang perlu diberi perhatian serius oleh Malaysia dalam kajian jangka panjang untuk pembinaan loji jana kuasa nuklear adalah penerimaan masyarakat tempatan.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata Jepun yang sudah lama menggunakan sumber tenaga nuklear juga masih berhadapan tentangan daripada sebahagian rakyatnya.

"Kita mahu belajar bagaimana Jepun menangani isu masyarakat yang menentang penggunaan jana kuasa nuklear di negara itu, terutama selepas bencana Fukushima pada 2011.

"Walaupun kerajaan Malaysia belum membuat keputusan untuk memulakan program nuklear, kita perlu membuat banyak kajian serta penyelidikan yang menyeluruh dan rapi," katanya di sini, hari ini.

Zaini mengetuai 24 delegasi Malaysia melawat Loji Jana Kuasa Nuklear Ikata di sini, sebelum dibawa ke kilang pengeluaran reaktor loji nuklear Mitsubishi Heavy Industries-Kobe Shipyard & Machinery Works di Kobe, esok.

Kumpulan itu mengikuti program lawatan kerja pemahaman awam mengenai tenaga nuklear Jepun selama enam hari atas jemputan Pusat Kerjasama Antarabangsa (JAIF) Forum Industri Atom Jepun (JICC).

Yang turut menyertai lawatan itu ialah KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Allauddin Anuar dan Ketua Eksekutif Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC), Dr Mohd Zamzam Jaafar.

Berita Harian X