Rabu, 22 March 2017 | 8:13am

Wawrinka yakin Federer dalam laluan ke puncak


ROGER Federer menewaskan rakan senegaranya, Wawrinka pada final Indian Wells, 19 Mac lalu. - Foto AFP

MIAMI: Kemunculan semula Roger Federer daripada kecederaan membanggakan ramai dan rakan senegaranya, Stan Wawrinka, yakin pemain veteran itu mampu muncul pemain nombor satu dunia paling tua dalam sejarah pada usia 35 tahun.

Federer menewaskan Wawrinka di final Indian Wells untuk memastikan kemenangan kedua tahun ini selepas Terbuka Australia, meraih kejuaraan Grand Slam ke-18 dan yang pertama buatnya dalam tempoh empat tahun setengah.

Wawrinka percaya cara permainan berbeza memberi peluang kepadanya untuk kembali ke puncak ranking dunia.

"Dia bermain dengan baik dan cukup berbeza. Sudah pasti Federer boleh menghuni kedudukan nombor satu," kata Wawrinka.

Ketika ini, rekod pemain paling tua berada di ranking nombor satu dunia dipegang Andre Agassi ketika melakukannya pada usia 33 tahun.

"Ia sesuatu yang menarik untuk disaksikan. Rafael Nadal bermain dengan baik dan kita akan lihat Novak Djokovic serta Andy Murray kembali daripada kecederaan.

"Pastinya ini perkembangan yang menarik buat peminat tenis," kata Wawrinka. - AFP

Berita Harian X