Selasa, 21 March 2017 | 6:20pm

Ancaman buaya perlu tindakan drastik

PAPAN Tanda memberi amaran kepada pengguna Sungai Sarawak yang berbunyi "Awas Buaya" sudah lusuh. - Foto Nadim Bokhari

KINABATANGAN: Jabatan Hidupan Liar Sabah diminta mengambil langkah drastik termasuk mencontohi tindakan pihak berkuasa negeri Sarawak bagi mengurangkan kes serangan buaya khususnya di Sungai Kinabatangan.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, berkata ancaman buaya membimbangkan penduduk khususnya yang tinggal di tebing sungai berkenaan dengan kejadian terbaharu yang mengorbankan dua beranak, kelmarin.

Sehubungan itu, katanya, jabatan bertanggungjawab harus mengambil langkah mengawal serangan reptilia berkenaan terutama di Sungai Kinabatangan.

"Sabah harus mengambil tindakan sama iaitu membenarkan pemburuan buaya untuk mengurangkan populasi haiwan berkenaan.

"Sekiranya tidak dikawal, kita bimbang ancaman meningkat menyebabkan kejadian serangan berulang," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, seorang lelaki berusia 50-an dan anak lelakinya, 13, ditemui maut dengan kesan gigitan buaya di Batu Supu, dekat Sungai Kinabatangan.

Kedua-duanya dengan seorang daripada mangsa hanya tinggal kepala hingga paras dada dan sebelah tangan ditemui ahli keluarga kira-kira jam 12 tengah hari Isnin selepas dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ketika keluar menangkap ikan.

Di Sabah kini, reptilia ini kini dilindungi mengikut adual 1, Bahagian 1 (Seksyen 25 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Berita Harian X