Selasa, 21 March 2017 | 4:44pm

100 terima Darjah Kebesaran, pingat daripada Sultan Johor

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Seramai 100 nama disenarai menerima Darjah Kebesaran dan pingat sempena Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Khamis ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abd Rahim Ramli, berkata pada tahun ini Sultan Ibrahim juga berkenan mengurniakan tiga individu daripada 100 penerima itu dengan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Datuk.

Katanya, tiga individu itu membabitkan seorang penerima penganugerahan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Datuk Seri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) dan dua penerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Datuk Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ).

"Seramai seorang penerima akan dianugerahkan darjah tertinggi iaitu Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DKII), manakala 31 penerima dianugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ).

"Bagi 65 penerima pingat pula, ia membabitkan tujuh penerima Pingat Sultan Ibrahim (PSI) Pangkat Pertama, PSI Pangkat Kedua (50 penerima) dan PSI Pangkat Ketiga (lapan penerima)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penerangan acara dan istiadat sempena Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abd Rahim berkata Sultan Ibrahim akan berangkat tiba pada jam 10 pagi bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah ke Istiadat Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor, Khamis ini.

"Istiadat dimulakan dengan majlis doa kesyukuran di Dewan Cina Istana Besar, diikuti Sultan Ibrahim akan menerima tabik hormat dan memeriksa barisan kehormat Anggota Taat Setia Negeri (ATSN) Johor.

"Istiadat diteruskan dengan Majlis Teriman iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyembah ucap tahniah dan memperbaharui ikrar taat setia bagi pihak kerabat," katanya.

Katanya, selepas Menteri Besar menyembah ucap tahniah, Sultan Ibrahim akan bertitah sebelum diteruskan dengan Majlis Mengadap Takzim dan diakhiri dengan Majlis Darjah dan Pingat.

Berita Harian X