Isnin, 20 March 2017 | 7:46am

Messi mengganas bantu Barca benam Valencia


LIONEL Messi.- Foto Reuters/Juan Medina

MADRID: Barcelona merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Real Madrid kepada dua mata selepas dua jaringan Lionel Messi memastikan kemenangan 4-2 ke atas Valencia yang beraksi 10 pemain di Camp Nou, awal pagi tadi.

Valencia terpaksa beraksi kurang seorang pemain sepanjang babak kedua selepas penjaring gol pertama perlawanan, Eliaquim Mangala dilayangkan kad merah.

Barcelona bangkit menyamakan kedudukan menerusi Luis Suarez sebelum Messi menyempurnakan penalti namun Munir El Haddadi kembali meletakkan kedudukan seimbang.

Bersambung babak kedua, Messi menambah jaringan buat Barca sebelum Andre Gomes melengkapkan kemenangan skuad The Catalan.

Walaupun berjaya merapatkan jurang mata, Real masih memiliki kelebihan ketika masih ada satu perlawanan berbanding Barca yang sudah pun bermain 28 kali.

"Kami cipta banyak peluang dan sememangnya kami berhak untuk memenangi perlawanan ini dengan jurang gol yang besar.

Menentang lawan yang memiliki pemain yang bagus, kami berjaya meraih mata berharga, " kata pengendali Barca, Luis Enrique.

Pada aksi lebih awal, Antoine Griezmann menjaringkan gol menarik menerusi sepakan percuma ketika Atletico Madrid menambah derita Sevilla dengan kemenangan 3-1 di Vicente Calderon.

AFP

Berita Harian X