Selasa, 30 Disember 2014 | 7:46pm

Mangsa di Pahang, Perak meningkat, Terengganu, Johor menurun


Air Sungai Pahang yang melimpah mengakibatkan banjir di Bandar Temerloh ketika tinjauan Ops Murni menggunakan Helikopter TUDM EC725 ke KG Tenggering Temerloh hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Perak meningkat petang ini manakala Terengganu dan Johor menunjukkan penurunan.

Di PAHANG, keadaan belum menunjukkan tanda untuk pulih apabila terus mencatat pertambahan mangsa kepada 51,434 orang berbanding 49,978 orang tengah hari tadi, di 263 pusat pemindahan dalam lapan daerah. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Temerloh menempatkan jumlah pemindahan paling banyak iaitu 21,284 orang di 62 pusat pemindahan.

Tujuh lagi daerah iaitu Pekan mencatat 9,960 mangsa di 40 pusat pemindahan, Jerantut (6,025 orang/59 pusat), Maran (4,238/32 pusat), Kuantan (3,797/17pusat), Lipis (3,090/28 pusat), Bera (2,854/19 pusat) dan Rompin (186/enam pusat).

Di PERAK, jumlah mangsa yang dipindahkan di kawasan Perak Tengah, KualaKangsar, Hulu Perak dan Kerian ialah 7,762 orang berbanding 7,664 orang padatengah hari.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, setakat inimangsa di Perak Tengah ialah 4,628 orang, Kuala Kangsar yang merangkumi kawasan Sungai Siput mencatat 2,017 mangsa, Hulu Perak 799 mangsa dan Kerian 318 mangsa.

Di KELANTAN, setakat 5 petang, tiada maklumat terkini diperoleh dengan 158,476 mangsa direkod pada tengah hari.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa menurun kepada 20,122 orang berbanding 25,775 orang pada tengah hari, susulan lebih ramai mangsa meninggalkan pusat pemindahan selepas keadaan semakin reda.

Mengikut statistik portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, kini terdapat 10,318 mangsa di pusat pemindahan di Kemaman, Dungun (8,815 mangsa), Hulu Terengganu (39 mangsa) dan Kuala Terengganu (213 mangsa). Beberapa pusat pemindahan juga telah ditutup menjadikan jumlah pusat yang masih beroperasi 61 dengan Dungun dan Kemaman masing-masing 28 pusat, tiga di Hulu Terengganu dan dua di Kuala Terengganu.

Di JOHOR, 148 penduduk membabitkan 41 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan berbanding 153 orang pada tengah hari.

- BERNAMA

Berita Harian X