Selasa, 30 Disember 2014 | 7:41pm

BR1M, bantuan persekolahan diharap ringankan beban mangsa banjir

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) ketika sidang media selepas membuat tinjauan banjir dari udara dan darat Kuala Krai di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu hari ini. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Datuk Seri Najib Razak berharap pembayaran wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan khas awal persekolahan RM100 pertengahan Januari, dapat meringankan beban mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.

Perdana Menteri berkata, ia adalah langkah segera yang diambil kerajaan dalam membantu mangsa banjir terutama yang hilang mata pencarian. "Pertengahan bulan satu (Januari) kita dahulukan pembayaran BR1M dan bayaran RM100 setiap anak yang ke sekolah. Ini kita lihat sebagai langkah serta-merta yang boleh kita lakukan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini selepas meninjau Gua Musang dan Kuala Krai yang terjejas akibat banjir.

Najib berkata, kerajaan akan menimbang bantuan lain berdasarkan jumlah taksiran kerugian mangsa banjir.

"Ini kita sedang rumuskan termasuk juga kesan kepada mereka yang terputus mata pencarian," katanya.

Najib berkata, kerajaan juga akan membantu peniaga di sekitar bandar Kuala Krai yang memerlukan pertolongan kerajaan susulan perniagaan terjejas termasuk stok barangan musnah akibat banjir.

Turut mengiringi perdana menteri dalam tinjauan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md Zain.

Ini lawatan kedua Najib ke Kelantan susulan kejadian banjir serius yang melanda Kelantan.

Dalam tinjauan pertama beliau Sabtu lalu, Najib melawat mangsa banjir dan meninjau sekitar jajahan Kota Baharu, Tumpat dan Pasir Mas.

- BERNAMA

Berita Harian X