Ahad, 19 March 2017 | 1:09pm

Tragedi lemas: Mayat ditemui disahkan sebagai Mohd Ikhwan


Anggota Bomba dan Penyelamat membawa mayat ke enam yang dijumpai di Sungai Selangor 3 kilometer dari kawasan operasi menyelamat kejadian lemas di Kampung Timah SKC, Bukit Beruntung. Enam mayat telah ditemui. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

KUALA KUBU BHARU: Mayat mangsa arus deras yang ditemui tadi di tebing Sungai Selangor, Bukit Beruntung di sini, oleh pasukan penyelamat disahkan sebagai Mohd Ikhwan Mohd Ridhuan, 10 tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata identiti mangsa disahkan oleh bapanya melalui proses pengecaman di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) sebentar tadi.

"Mayat mangsa ditemui pada jam 10.20 pagi oleh sepasukan anggota bomba di bahagian tebing sungai, kira-kira 3 kilometer dari pusat operasi mencari.

"Pengecaman mayat dibuat melalui pakaian yang dipakai mangsa serta tanda fizikal di tubuhnya," katanya dalam satu sidang media di sini, sebentar tadi.

Katanya, usaha pencarian masih diteruskan untuk mencari seorang lagi mangsa, Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12 tahun yang masih hilang.

Jumaat lalu, lapan sahabat menangguk ikan di anak Sungai Selangor di Kampung Timah sebelum dihanyutkan arus deras setinggi 5 meter berpunca daripada kepala air.

Enam disahkan meninggal dunia, seorang terselamat dan seorang lagi masih hilang. Kesemua mangsa berusia antara sembilan hingga 12 tahun.

40 dibaca
Berita Harian X