Ahad, 19 March 2017 | 8:50am

Federer, Wawrinka tempah pertembungan 'impian'


ROGER Federer (kiri) dan Stan Wawrinka. - Foto AFP

INDIAN WELLS: Roger Federer dan Stan Wawrinka menempah pertemuan final impian sesama pemain Switzerland, selepas kedua-dua pemain itu mencatat kemenangan straight set pada aksi separuh akhir tenis Masters ATP Indian Wells.

Federer, yang merangkul gelaran ke-19 Grand Slam di Terbuka Australia, Januari lalu mengetepikan pemain Amerika Syarikat (AS) Jack Sock 6-1, 7-6 (7/4) sekali gus meneruskan pemburuan trofi kelima Indian Wells.

Juara Terbuka AS Wawrinka pula yang melepasi peringkat suku akhir di kejohanan itu buat kali pertama, mudah menumbangkan pemain Sepanyol Pablo Carreno Busta 6-3, 6-2.

Federer tiba ke pertembungan separuh akhir dengan rehat yang cukup selepas bintang muda Australia Nick Kyrgios menarik diri daripada aksi suku akhir yang dinanti-nantikan, semalam.

Bagaimanapun, jaguh Switzerland itu yang menumpaskan musuh lamanya Rafael Nadal 6-2, 6-3 di pusingan keempat, berdepan tentangan sengit Sock sebelum mengetepikan lawannya di mata penentuan.

"Saya pasti saya bermain dengan baik di set pertama, dapat membaca bola dengan baik," kata Federer.

"Saya fikir Jack melalui set pertama yang kurang baik dan saya segera menghidunya untuk 'membunuhnya' tanpa melakukan sebarang kesilapan dan terus menekannya.

"Set kedua seperti apa yang saya jangkakan. Ia sukar untuk mematikan bolanya dan membalas pukulan servisnya.

"Mungkin prestasi saya sikit merudum tatkala dia pula meningkat permainannya. Ia menjadi sikit rumit tetapi ia satu perasaan yang hebat untuk mara dengan hanya perlu menghadapi dua set."

AFP

Berita Harian X