Sabtu, 18 March 2017 | 4:05pm

Filem, drama kepolisan beri kesan positif


PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh. - Foto Zulfadhli Zulkifli

BANDAR SERI JEMPOL: Penerbitan filem dan drama televisyen bercorak kepolisan berpotensi membantu menarik minat golongan muda untuk menyertai perkhidmatan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata Gerak Khas dan J Revolusi, serta drama dan filem lain sebelum ini, memberi kesan besar untuk membentuk pandangan positif terhadap kerjaya sebagai anggota polis.

Katanya, keadaan adalah sama seperti siri drama televisyen lain mengenai bidang forensik yang mampu mendorong golongan muda untuk menyertai bidang itu.

"Kalau anda tanya adakah filem atau drama kepolisan mempengaruhi penonton, saya kata ya. Walaupun berbentuk hiburan, ia dapat mempromosi tugas polis," katanya pada sidang media selepas majlis perbarisan tamat latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Siri 1/2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, Datuk T Narenasagaran dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof.

Mohmad berkata, walaupun sambutan menyertai perkhidmatan polis adalah baik, bilangan bukan Melayu masih kurang apabila daripada 1,194 pelatih yang tamat PLAK Konstabel siri 1/2016 itu, hanya lima membabitkan kaum Cina dan 11 India.

Katanya, walaupun pelbagai kempen dan program dijalankan untuk menarik penyertaan lebih ramai kaum bukan Melayu, keadaan masih tidak berubah.

"Bagaimanapun, kita akan terus berusaha menarik lebih ramai penyertaan anak muda bukan Melayu kerana kerjaya polis bukan hanya menyiasat kejadian jenayah, malah amat luas dan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X