Sabtu, 18 March 2017 | 9:25am

Tragedi 5 lemas: Usaha cari 2 mangsa diteruskan

HULU SELANGOR: Usaha mencari dua lagi kanak-kanak yang dibawa arus deras di anak sungai Selangor berhampiran Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini, diteruskan pagi ini.

Dua mangsa, Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan dan Muhammad Aiman Kamarul Arifin, kedua-duanya berusia 12 tahun sehingga kini masih belum ditemui sebaik operasi mencari dan menyelamat (SAR) di mulakan lewat petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan, berkata operasi SAR yang dihentikan kira-kira jam 5 pagi tadi, disambung semula jam 8.30 pagi ini.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azrul Khairi Abu Bakar (kanan sekali) melihat peta lokasi kejadian untuk operasi SAR hari ini yang turut dibantu empat anggotanya. - Foto Nor Azizah Mokhtar

"Pasukan penyelamat dengan kekuatan 26 anggota dibahagikan kepada empat kumpulan untuk melakukan pencarian dari lokasi kejadian sepanjang lima kilometer ke Sungai Selangor.

"Pasukan SAR daripada bomba dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya ketika ditemui di lokasi, pagi ini.

Katanya, operasi SAR akan dilakukan menggunakan dua bot penyelamat bomba selain pencarian di permukaan.

Semalam, lima murid sekolah berusia sembilan tahun hingga 12 tahun, termasuk satu pasangan adik-beradik lemas dibawa arus deras ketika sedang menangguk ikan di sungai yang digelar penduduk tempatan sebagai Sungai SKC di sini.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, sekumpulan lapan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya 1, berada di tepi Sungai SKC untuk menangguk ikan dalam cuaca hujan.

Bagaimanapun, seorang murid, Muhammad Shahir Azman, 7, selamat, manakala dua lagi masih hilang.

Mayat dua beradik, Shahrizwan Abdullah, 10 dan Shahrizat, 12, ditemui pada jarak 50 meter dari lokasi mereka dibawa arus berhampiran jambatan di Kampung Timah.

Mayat Mohd Iskandar Shah Abdullah, 11, dan Mohd Aiman Fitri Md Asmadi,12, masing-masing ditemui pada jam 9.47 malam serta 9.58 malam, sejauh kira-kira hampir empat kilometer dari lokasi mereka dibawa arus.

Mangsa kelima, Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian jam 12.15 tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azrul Khairi Abu Bakar melihat peta lokasi kejadian untuk operasi SAR hari ini yang turut dibantu empat anggotanya. - Foto Nor Azizah Mokhtar
Berita Harian X