Jumaat, 17 March 2017 | 11:54pm

Lelaki bakal masuk jel kerana bunuh rama-rama


SEORANG lelaki Britain didakwa di mahkamah atas tuduhan menangkap dan membunuh dua ekor rama-rama spesis jarang ditemui dikenali 'Large Blues' (gambar kecil). - Foto The Guardian

LONDON: Seorang lelaki Britain didakwa di mahkamah atas tuduhan menangkap dan membunuh dua ekor rama-rama spesis jarang ditemui dikenali 'Large Blues'.

Spesis rama-rama itu yang hanya terdapat di Britain dikategorikan sebagai koleksi paling bernilai negara itu sejak era pemerintahan Victoria.

Mahkamah di barat daya Bristol semalam mendapati, Philip Cullen bersalah atas tuduhan membunuh dua ekor rama-rama Large Blues yang dilindungi sepenuhnya di negara itu.

Suspek berdepan kemungkinan dijatuhi hukuman penjara yang akan diputuskan bulan depan.

Beberapa sukarelawan melihat Cullen menangkap rama-rama berkenaan menggunakan jaring di dua kawasan dilindungi di Gloucestershire dan Somerset di barat daya England.

Polis yang menyerbu kediaman tertuduh di Bristol Februari lalu menemui 30 dulang berisi bangkai kupu-kupu dan rama-rama, termasuk dua ekor dari spesis Large Blues.

Siasatan mendapati, Cullen menjual rama-rama itu di laman sosial dan mendakwa kononnya ia dibeli dari sebuah ladang di Perancis.

Large Blues mula ditemui di Britain pada tahun 1795 dan pupus dari negara itu pada 1979. - AFP

Berita Harian X