Jumaat, 17 March 2017 | 6:35pm

Sultan Selangor pilih PKNS FC


PENGERUSI Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar (tiga dari kanan) bersama Ketua Delegasi Singapura, Teo Hock Seng (tiga dari kiri) menunjukan trofi baru untuk kategori Bawah 16 tahun ketika majlis pengenalan trofi baru dan penyerahan tiket kepada penyokong Selangor bagi menyaksikan Piala Sultan Selangor 2017 di Singapura. - Foto Hairul Anuar Rahim

SINGAPURA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah memilih Persatuan Kelab Bola Sepak PKNS (PKNS FC) mewakili Selangor bagi saingan Piala Sultan Selangor edisi ke-16 yang dijadualkan pada 6 Mei, ini di Singapura.

Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata Sultan Sharafuddin bertitah kepada beliau baru-baru ini memilih PKNS FC untuk mewakili negeri itu ke saingan merebut piala berprestij itu.

Katanya, perkara sedemikian (pemilihan kelab) pernah dilakukan pada saingan Piala Sultan Selangor edisi tahun 2004 yang menyaksikan Kelab Bola Sepak MPPJ (MPPJ FC) mewakili Selangor untuk beraksi di Singapura yang juga menjadi tuan rumah ketika itu.

"Sultan Selangor bertitah untuk menggunakan (memilih) PKNS FC bagi mewakili Selangor ke saingan Piala Sultan Selangor kali ke-16 yang berlangsung di Singapura pada 6 Mei ini.

"Seperti yang kita maklum, PKNS FC juga mempunyai barisan pemain handalan seperti Safee Sali, Bobby Gonzales, P Gunalan dan K Gurusamy yang mampu menggalas tanggungjawab itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sidang media khas Piala Sultan Selangor di sini, hari ini. Yang turut hadir, Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Lim Kia Tong; Pengerusi Delegasi Singapura, Teo Hock Seng dan barisan pemain veteran Selangor serta Singapura.

Turut diadakan pada majlis itu, pelancaran Piala Cabaran Sekolah-sekolah Singapura-Selangor yang akan direbut pemain bawah 16 tahun pada saingan itu yang julung kali dianjurkan pada tahun ini.

Abd Karim berkata, penganjuran tahun ini menjadikan penantian penyokong Selangor selama tujuh tahun yang mahu penganjuran kejohanan berprestij itu diadakan di Singapura, akhirnya terjawab.

"Pemain serta penyokong kedua-dua pasukan juga berpeluang merasai pengalaman bermain dan duduk di Stadium Nasional Singapura yang baru siap dibina dengan kelengkapan serba canggih.

"Buat julung kalinya kejohanan yang masuk edisi ke-16 ini akan menganjurkan tiga perlawanan iaitu remaja, veteran dan pasukan pilihan Selangor serta Singapura pada hari dan tempat yang sama," katanya.

Dalam aksi Piala Sultan Selangor edisi ke-15 yang berlangsung 7 Mei lalu, skuad Veteran Selangor menewaskan Veteran Singapura 2-0, namun kecemerlangan itu gagal diteruskan skuad Pilihan Selangor apabila tewas dalam penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 dalam 90 minit aksi.

Berita Harian X