Jumaat, 17 March 2017 | 4:32pm

Remaja maut kemalangan empat kenderaan


KEADAAN mangsa dan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tamparuli-Ranau, dekat Kampung Koporingan, Tuaran. - Foto ihsan JBPM Sabah

TUARAN: Seorang remaja maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Tamparuli-Ranau, dekat Kampung Koporingan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, sebuah lori lima tan, kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Proton Saga FLX dan sebuah PERODUA Kancil.

Mangsa berumur 14 tahun yang juga penumpang Proton Saga FLX disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek, berkata siasatan awal mendapati pemandu lori gagal mengawal kenderaan ketika menuruni bukit apabila tayar hadapan kanan pecah.


KEADAAN mangsa dan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tamparuli-Ranau, dekat Kampung Koporingan, Tuaran. - Foto ihsan JBPM Sabah

Katanya, keadaan itu menyebabkan lori yang dalam perjalanan dari Ranau ke Kota Kinabalu merempuh tiga kenderaan di laluan bertentangan.

"Enam lagi mangsa terdiri daripada pemandu dan penumpang tiga kenderaan berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Tuaran manakala mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa untuk bedah siasat.

"Pemandu lori terbabit sudah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abdul Fuad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan dan menyebabkan kematian.

45 dibaca
Berita Harian X