Jumaat, 17 March 2017 | 11:17am

AIA catat nilai perniagaan baharu RM815 juta


KETUA Pegawai Eksekutif AIA, Anusha Thavarajah. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: AIA Bhd (AIA) mencatat nilai perniagaan baharu (VONB) bernilai RM815 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2016.

Syarikat insurans hayat itu mencatat kadar pertumbuhan dua digit bagi tahun keempat berturut-turut dengan VONB melonjak 23 peratus daripada RM664 juta, angka yang diraih tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia adalah pertumbuhan pasaran ketiga terbesar bagi AIA Group selepas China dan Hong Kong.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA, Anusha Thavarajah berkata, prestasi kadar pertumbuhan yang konsisten itu disokong model perniagaan anjal dan komitmen untuk membangunkan perniagaan yang mampan dan bermutu tinggi.

"Keputusan kukuh dicapai AIA disumbang oleh peningkatan produktiviti kumpulan agensi atau Perancang Hayat AIA.

"Langkah ini menyaksikan peningkatan 25 peratus dalam jumlah rekrut aktif baharu tahun lalu," katanya dalam taklimat media keputusan tahun kewangan 2016 AIA di sini, hari ini.

Berita Harian X