Khamis, 16 March 2017 | 10:37pm

Sheila sedia jadi duta alam sekitar


Datuk Sheila Majid (dua dari kiri) bersama Pengarah Eksekutif Pemuliharaan Belum, Ahmad Khalif Mustapha Kamal (dua dari kanan), Pengarah Eksekutif Emkay Group, Datuk Fazwinna (kiri), dan CEO Pulau Banding Foundation, Datuk Rashid Abdul Malik (kanan) merasmikan majlis sidang media konsert Datuk Sheila Majid di Menara Mustapha Kamal. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Datuk Sheila Majid, bersedia menjadi duta ataupun jurucakap bagi kempen penjagaan alam sekitar, sekiranya diberi peluang.

Menurut Sheila, 52, walaupun tanggungjawab terbabit tampak berat, demi rasa sayangnya pada bumi yang tiada galang gantinya, beliau sanggup memikul amanah itu.

"Kalau ada pihak yang sudi untuk menawarkan tugas itu kepada saya, pasti saya akan menerimanya. Selain minat mendalam, saya juga memang suka bercakap mengenai perkara ini (isu alam sekitar).

"Bagaimanapun, saya kenalah bersedia untuk mendalami lagi ilmu alam sekitar supaya apa yang saya sampaikan dan kongsi dapat memberi impak," kata Sheila ketika ditemui pada majlis sidang media Sheila Majid Live @ Belum Rainforest Resort di Menara Mustapha Kamal, PJ Trade Centre di sini, hari ini.

Persembahan terbabit akan diadakan di resort berkenaan di Pulau Banding, Grik, Perak, pada 29 April depan.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Belum Conservation, Ahmad Khalif Mustapha Kamal.

Kata penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Sinaran itu, berpeluang bercuti bersama keluarga di bandar Taiping, Perak pada Disember lalu turut mendedahkan beliau pada keunikan dan keistimewaan alam semula jadi negara ini, yang tidak diketahuinya sebelum ini.

"Tidak payah pergi jauh-jauh sampai ke luar negara untuk menyaksikan keunikan alam semula jadi kerana semua itu ada dalam negara kita sendiri," kata penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Jazz ini.

Mengulas acara yang bakal dijayakannya pula, Sheila memberitahu, persembahan dengan konsep berhibur sambil beramal itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu memulihara hutan hujan berkenaan.

"Peminat boleh menyaksikan persembahan amal itu menerusi beberapa pakej tertentu. Selain menyaksikan saya menyampaikan dendangan popular dan lagu baharu, mereka juga berpeluang menjalankan pelbagai aktiviti makan malam bersama saya," kata isteri kepada pengarah muzik, Datuk Acis ini.

Untuk maklumat lanjut berhubung jualan tiket, peminat boleh melayari laman web www.belumrainforestresort.com.

13 dibaca
Berita Harian X