Khamis, 16 March 2017 | 9:29pm

Remaja lemas ditemui


Pasukan mencari dan menyelamat mengangkat mayat Ahmad Iman Danish Zailan, 13, yang ditemui lemas di Kampung Padang Bual, Jertih, petang tadi. - Foto ihsan Bomba

KUALA TERENGGANU: Mayat seorang remaja yang lemas selepas terjatuh ke dalam parit di Kampung Padang Bual, Jertih, ditemui petang tadi.

Mayat Ahmad Iman Danish Zailani, 13, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada jam 6.58 petang.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Besut, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB), Muhammad Azurul Izzham Zulkifli berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari tempat dia dipercayai terjatuh.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa bersama beberapa rakan dikatakan bermain di tepi parit di kampung berkenaan pada kira-kira jam 5.30 petang apabila mangsa tiba-tiba terjatuh.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Besut menerima laporan mengenai kejadian pada jam 5.53 petang.

"Pasukan mencari dan penyelamat (SAR) dibantu penduduk kampung melancarkan gerakan mencari dan menemui mayat mangsa di dasar parit sedalam kira-kira tiga meter itu," katanya.

Berita Harian X