Khamis, 16 March 2017 | 1:20pm

4 subjek teras tunjuk peningkatan

KETUA Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof melihat buku laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di bilik mesyuarat kementerian itu hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Pendidikan Islam dan Sains menunjukkan peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang diumumkan hari ini.

Prestasi mata pelajaran BM meningkat bagi tahun 2016 iaitu 4.60 berbanding 4.73 (2015), manakala BI kepada 5.99 (6.08); Pendidikan Islam 4.40 (4.72) dan Sains 5.04 berbanding 5.35 bagi tahun 2015.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata sebanyak 41 daripada 73 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi dalam peperiksaan SPM 2016, manakala 28 subjek menunjukkan penurunan, serta empat mata pelajaran tidak berubah.

"Prestasi mata pelajaran Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan (GPMP) tertinggi iaitu sebanyak 0.32," katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, prestasi mata pelajaran Matematik menunjukkan penurunan tertinggi GPMP iaitu sebanyak 0.29 berbanding 5.17 pada 2015.

Katanya, pelajaran teras lain seperti Matematik, Sejarah dan Pendidikan Moral pula mencatatkan penurunan.

Mengulas lanjut, Khair berkata, dalam bidang elektif sains dan matematik, empat mata pelajaran menunjukkan peningkatan iaitu Fizik, Biologi, Kimia dan Matematik Tambahan.

Katanya, mata pelajaran Biologi menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi iaitu sebanyak 0.23, manakala Sains Tambahan menunjukkan penurunan tertinggi iaitu 0.12.

"Dalam bidang teknikal pula, mata pelajaran Kejuruteraan Awam menunjukkan peningkatan tertinggi iaitu 0.72, manakala Teknologi Kejuruteraan menunjukkan penurunan tertinggi (0.58)," katanya.

Berita Harian X