Khamis, 16 March 2017 | 12:28pm

Bunuh Sosilawati: 3 ke tali gantung, 1 bebas

PUTRAJAYA: Bekas peguam dan dua pekerja ladang ke tali gantung, selepas rayuan mereka membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya tujuh tahun lalu, ditolak Mahkamah Persekutuan hari ini.

Bagaimanapun, seorang perayu bernasib baik apabila rayuan pekerja ladang itu dibenarkan oleh lima panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Mahkamah sebulat suara menolak rayuan bekas peguam N Pathmanabhan, 47, dan pekerja ladang T Thilaiyalagan, 25, serta R Kathavarayan, 37, tetapi membebaskan R Matan, 26 selepas mendapati tiada bukti yang boleh mensabitkannya.

Panel membuat keputusan itu selepas mendapati ada banyak bukti yang lebih daripada mencukupi untuk mensabitkan ketiga-tiga perayu.

Arifin dalam penghakimannya berkata, bukti yang dikemukakan Sosilawati dan tiga lagi dibunuh di ladang di Banting milik Pathmanabhan, adalah melampaui keraguan munasabah.


TERTUDUH R Kathavarayan dibawa oleh anggota Jabatan Penjara setelah Mahkamah mengekalkan sabitan dan hukumam gantung terhadapnya dan dua lagi tertuduh yang dituduh membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah manakala keterangan tiga tertuduh adalah penafian semata-mata.

Katanya apabila mangsa berada di ladang terbabit, tertuduh mempunyai segala peluang yang ada untuk melakukan pembunuhan itu.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Semua perayu dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013, selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara jam 8.30 malam dan jam 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, Matan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 4 Disember 2015.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon, Peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Matan, Gurbachan Singh dan Hisyam Teh Poh Teik mewakili Thilaiyalagan, manakala T Vijayandran bertindak bagi pihak Kathavarayan.

45 dibaca
Berita Harian X