Khamis, 16 March 2017 | 9:30am

Maut digilis selepas berlanggar


KERETA jenis Honda City yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal yang menyebabkan dua orang maut di tempat kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), dekat Batu Gajah. - Foto Rasul Azli Samad

JASIN: Dua maut, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang maut adalah penunggang dan pembonceng motosikal berusia 16 dan 41 tahun.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Sakri Yusoff, berkata siasatan awal mendapati sebuah motosikal dari arah Muar ke Melaka membuat pusingan U, sebelum dirempuh sebuah kereta dipandu anggota polis berusia 25 tahun dari arah bertentangan


MOTOSIKAL Yamaha LC135 yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Honda City di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Batu Gajah. Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu dua mangsa mati ditempat kejadian dan dibawa ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta yang cedera dihantar ke Hospital Muar untuk mendapatkan rawatan.

"Kereta itu kemudian terbabas ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter mengakibatkan pemandunya cedera parah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 itu kemudian dipercayai digilis sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah Melaka menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

"Mayat dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan identiti semua mangsa sedang dikenal pasti.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X