Khamis, 16 March 2017 | 12:06am

Masyarakat Sepang martabatkan seni wau tegak

SEPANG: Masyarakat Selangor khususnya golongan muda di Sepang terus memartabatkan permainan tradisional wau tegak yang menjadi seni warisan turun-temurun sejak setengah abad lalu.

Permainan yang popular dalam kalangan semua golongan dan peringkat umur itu sering diadakan sebagai pertandingan pada hujung minggu di kawasan padang serta tepi pantai.

Bagi memeriahkan acara itu, sekali gus memastikan ia tidak luput ditelan zaman, Pemuda UMNO Sepang, baru-baru ini, mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan wau tegak di Pantai Bagan Lalang, di sini.


SEORANG pemain membawa wau gergasi ketika menyertai pertandingan wau tegak di Pantai Bagan Lalang, Sepang. - Foto Samadi Ahmad

Ketuanya, Noor Azli Mohd Said, berkata pertandingan itu berjaya menarik minat lebih 1,000 peserta bagi acara yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu wau kecil dan gergasi.

"Tumpuan pertandingan kali ini ialah kepada wau generasi mencecah sehingga enam meter panjang dan tiga meter lebar, yang mengutamakan kebolehan pemain dalam mengendalikan atau menerbangkan wau.

"Dalam pertandingan ini, pemain perlu menegakkan wau mereka sehingga 90 darjah dalam jangka masa ditetapkan dan pemenang akan dipilih berdasarkan wau paling tegak mengikut tatacara yang ditetapkan.

"Pertandingan ini juga memerlukan kebijaksanaan dan kerjasama berpasukan kerana setiap pasukan memerlukan sekurang-kurangnya enam pemain untuk menaikkan wau. Jika angin tidak kuat, wau mereka tidak dapat menegak seperti dikehendaki," katanya.


NOOR Azli (empat dari kiri) bersama ahli jawatankuasa pertandingan wau tegak memegang layang-layang yang memenangi kategori layang-layang cantik pada Pertandingan Wau Tegak di Pantai Bagan Lalang, Sepang. - Foto Samadi Ahmad

Beliau berkata, semua pasukan akan dipantau oleh pengadil dan mereka perlu mengikat tali layang-layang di tempat yang berada dalam garisan khas bagi mengenal pasti pemenang.

Pemain juga perlu menunjukkan kebolehan dalam mengendalikan wau selama enam minit dan masa dikira menggunakan tempurung kelapa berlubang yang direndam dalam sebuah bekas air.

Pemain wau, Kadir Dayat, 64, dari Tanjung Sepat, berkata beliau bermain wau sejak remaja dan sudah beberapa kali memenangi pertandingan wau yang disertainya.

Katanya, minat mendalam dengan permainan itu mendorongnya menjelajah ke seluruh Malaysia semata-mata untuk menyertai pertandingan wau.

"Saya amat berpuas hati kerana setiap kali menyertai pertandingan, saya tidak pernah pulang dengan tangan kosong dan saya amat gembira kerana golongan muda turut meminati permainan wau di daerah ini," katanya.

INFO
Pertandingan wau tegak:

  • Disertai 1,000 peserta.
  • Dibahagikan kepada dua kategori iaitu wau kecil dan gergasi.
  • Pemain perlu menegakkan wau mereka sehingga 90 darjah dalam jangka masa ditetapkan.
  • Pemenang akan dipilih berdasarkan wau paling tegak mengikut tatacara ditetapkan.
40 dibaca
SEORANG juri mengikat tali layang-layang pada sebatang tiang khas pada pertandingan wau tegak di Pantai Bagan Lalang, Sepang. - Foto Samadi Ahmad
SEORANG pemain menunjukkan jenis tali yang digunakan bagi menaikkan wau tegak. - Foto Samadi Ahmad
PEMAIN mengawal wau masing-masing ketika menyertai pertandingan wau tegak di Pantai Bagan Lalang, Sepang. - Foto Samadi Ahmad
PEMAIN berbincang sebelum menerbangkan wau ketika menyertai pertandingan wau tegak. - Foto Samadi Ahmad
SEKUMPULAN pemain bersedia menaikkan wau ketika menyertai pertandingan wau tegak. - Foto Samadi Ahmad
SETIAP kumpulan memerlukan lima hingga enam pemain bagi menaikkan wau gergasi. - Foto Samadi Ahmad
PESERTA pertandingan wau tegak bergambar beramai-ramai di Pantai Bagan Lalang, Sepang. - Foto Samadi Ahmad
NOOR Azli (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan wau tegak di Pantai Bagan Lalang, Sepang. - Foto Samadi Ahmad
Berita Harian X