Rabu, 15 March 2017 | 3:59pm
ANGGREK lahir melalui kaedah pembedahan Sabtu lalu.

Adira bersyukur, tempoh pantang dibantu ibu

ANGGREK dilahirkan dengan berat 3.2 kilogram.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi, meluahkan kelegaan apabila ibunya, Rujinah Sarungin, berada di samping beliau ketika dalam tempoh pantang selepas bersalin.

Mengakui masih dalam keadaan lemah selepas melahirkan bayi sulung, Anggrek, menerusi kaedah pembedahan, 10 Mac lalu, Adira berkata beliau tidak tahu bagaimana untuk melakukannya seorang diri tanpa ibu di sisi.

Bercakap kepada BH Online, Adira atau nama penuhnya, Siti Adira Suhaimi, 27, berkata ketika ini beliau juga masih sukar bergerak bagi menjalani rutin harian.

"Saya berasa sukar untuk bangun kerana masih terkesan dengan pembedahan, Jumaat lalu. Nasib baiklah ada ibu yang datang dari Sabah untuk menjaga saya. Tidak tahu bagaimana keadaannya jika ibu tiada di sisi untuk membantu saya.

"Saya juga meminta pelepasan daripada doktor untuk berehat di rumah kerana kurang selesa berada di hospital. Lagipun, jarak antara hospital dengan rumah tidaklah jauh sangat, jadi mudah untuk saya berulang alik," katanya.

Dedah Adira, tugas sebagai ibu bukan sesuatu yang mudah bagi mereka yang tiada pengalaman.

"Saya sendiri masih berada dalam fasa untuk mempelajari tanggungjawab yang baharu digalas ini. Kekok juga rasanya menjaga dan memandikan Anggrek yang masih kecil," katanya.

Penyanyi lagu Dewi Cinta itu selamat melahirkan cahaya mata sulung di sebuah hospital swasta di ibu kota, Jumaat lalu. Bayi berkenaan dilahirkan dengan berat 3.2 kilogram.

Adira yang juga naib juara program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) bernikah dengan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, di Songkla, Thailand, pada 3 Disember 2015.

Berita perkahwinan Adira menjadi viral di alam maya apabila seorang wanita dikenali sebagai Datin Red memuat naik gambar dan status di Facebook pada 16 Disember tahun lalu, dengan menjelaskan beliau serta penyanyi itu berkongsi suami.

Berita Harian X