Rabu, 15 March 2017 | 2:41pm

Budak lelaki maut dalam kebakaran

DENGKIL: Seorang budak lelaki berusia lima tahun, Tiew Kai Hen, maut dalam kebakaran membabitkan tiga rumah teres setingkat di Taman Gemilang dekat sini, pada jam 4 pagi tadi.

Bagaimanapun, kakak mangsa, Kah Ming, 6, yang turut terperangkap dalam bilik tidur tengah rumah berkenaan, berjaya diselamatkan jiran.

Ketika kejadian, bapa angkat kepada pasangan kanak-kanak itu, Tiew Soon Cheong, 30an, tiada di rumah manakala ibu angkat warga Indonesia, pulang ke negara asalnya dua minggu lalu bagi menziarahi salah seorang ahli keluarga yang sakit.

Seorang jiran yang juga mangsa kebakaran, Mohammad Hamzah Ahmad Kutty, 51, berkata beliau sedang tidur dan terasa bahang panas sekitar jam 4 pagi sebelum bergegas bangun ke dapur dan mendapati rumah jirannya terbakar.

"Saya terus mengejutkan ahli keluarga yang masih tidur. Saya bersama isteri dengan dibantu dua anak lelaki dan seorang perempuan cuba menyimbah air ke dinding rumah, namun api semakin merebak. Demi keselamatan, saya mengarahkan semua ahli keluarga keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri.

"Alhamdulillah, kami sekeluarga selamat dan hanya sempat menyelamatkan dokumen peribadi penting selain sebuah kereta dan dua motosikal, " katanya ketika ditemui BH hari ini.

Mangsa kebakaran, Jamariah Zakaria, 63, berkata kejadian pantas dan beliau pada mulanya menyangka ada jiran membakar sampah, lalu membuka pintu belakang rumah dan terkejut melihat api mula menjulang dari rumah mangsa.

"Saya mendengar suara kanak-kanak menjerit meminta tolong dari rumah sebelah, namun tidak sangka penjaga kanak-kanak itu tiada di rumah. Apabila api semakin marak, kami sekeluarga bergegas keluar dan hanya sempat selamatkan sebuah kereta sahaja, " katanya yang tinggal di rumah itu bersama anak perempuan, menantu serta dua orang cucu.

Sementara itu, Penguasa Bomba Zon Selangor Selatan, Abu Bakar Abd Kadir, berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Katanya, 25 anggota dari balai Bomba Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.27 pagi dari pusat gerakan operasi dan berjaya mengawal serta memadamkan sepenuhnya kebakaran itu pada jam 8.30 pagi.

Berita Harian X