Rabu, 15 March 2017 | 1:19pm

MATRADE, SIRIM bantu syarikat tempatan


KETUA Pegawai Eksekutif MATRADE, Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros (dua dari kiri) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Zainal Abidin Mohd Yusof (dua dari kanan) membaca risalah seminar pada program kerjasama antara MATRADE dan SIRIM "Ke Arah Pasaran Eksport" di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bekerjasama dengan SIRIM Bhd dalam membantu syarikat tempatan menembusi pasaran eksport.

Kerjasama itu membabitkan pendedahan syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai manfaat Pusat Integrasi Eksport (ICE) yang disediakan MATRADE serta kepentingan rekabentuk dan pembungkusan untuk pasaran eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, berkata ICE adalah pusat sehenti untuk syarikat tempatan yang sedang mengeksport dan akan mengeksport mendapatkan maklumat mengenai eksport.

Pusat sehenti itu juga, jelasnya menjadi pusat khidmat nasihat sehenti dan menyeluruh merangkumi maklumat berkaitan insentif kerajaan, perkhidmatan perbankan, logistik serta standard dan persijilan.

"Pusat ini bertujuan untuk menambahbaik sistem penyampaian agensi kerajaan kepada syarikat tempatan khususnya PKS," katanya pada program kerjasama antara MATRADE dan SIRIM "Ke Arah Pasaran Eksport" di sini, hari ini.

Mohd Shahreen berkata, ICE yang terletak di Menara MATRADE dibuka kepada orang awam pada setiap Rabu dan Khamis bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Beliau berkata, antara wakil agensi yang terbabit di ICE ialah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian, Kementerian Kesihatan, SME Corp, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, EXIM Bank, SME Bank, SIRIM QAS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pembangunan Industri Kewangan Malaysia Bhd (MIDF).

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Zainal Abidin Mohd Yusof, berkata kerjasama SIRIM dengan MATRADE itu membabitkan usahawan yang menyertai Program InnoPack SIRIM yang bersedia untuk menembusi pasaran eksport.

Beliau berkata, kerjasama dengan MATRADE itu membolehkan usahawan yang dibimbing di bawah Program InnoPack mengembangkan perniagaan ke pasaran global, seterusnya membantu meningkatkan ekonomi negara."Menerusi Program InnoPack,

SIRIM membangunkan satu penyelesaian yang lengkap daripada konsep rekabentuk jenama, aplikasi kesesuaian bahan pembungkusan, rekabentuk grafik, pengujian nutrisi makanan, pendaftaran cap dagangan dan seterusnya pengeluaran percetakan bahan pembungkusan.

"Sejak diperkenalkan pada 2014, antara 200 ke 250 usahawan PKS dibimbing di bawah Program InnoPack setiap tahun," katanya.

Zainal Abidin berkata, pada 2016, seramai 264 usahawan PKS dibimbing di bawah Program InnoPack sementara 1,399 usahawan menerima latihan dan khidmat nasihat daripada Pusat Reka Bentuk Pembungkusan dan Keselamatan SIRIM.

Beliau berkata, kira-kira 20-30 PKS yang menyertai Program InnoPack bersedia untuk menembusi pasaran eksport.

13 dibaca
Berita Harian X