Rabu, 15 March 2017 | 12:46pm

Polis rampas dadah RM5.2j


TIMBALAN Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kang Chez Kiang menunjukkan alatan memproses dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Ipoh, hari ini. - Foto Effendy Rashid

IPOH: Polis menahan empat anggota sindiket dadah termasuk tiga beradik dan merampas dadah dipercayai syabu bernilai RM5.2 juta dalam serbuan ke makmal memproses bahan terlarang itu di sebuah ladang kelapa sawit di Gopeng, dekat sini, kelmarin.

Dalam serbuan dijalankan Pasukan Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak pada jam 2.30 petang itu, polis menyerbu sebuah rumah bangsal di ladang berkenaan dipercayai dijadikan makmal memproses dadah sebelum menahan kesemua suspek warga tempatan berkenaan yang berusia 28 hingga 44 tahun.

Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kang Chez Kiang, ketika serbuan dijalankan, keempat-empat suspek sedang menjalankan aktiviti pemprosesan dadah dipercayai jenis methamphetamine.

Katanya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis merampas 74.55 kilogram (kg) dadah terbabit dan 29.35 kg bahan mentah utama dipercayai Ephedrine untuk memproses dadah sama.

"Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati semua mereka negatif dadah manakala dua daripada keempat-empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau. "Semua rampasan dadah dianggarkan bernilai RM5.2 juta mengikut harga pasaran.

"Dalam serbuan itu polis turut merampas dua kereta iaitu PERODUA Kembara dan PROTON Gen 2 serta seutas jam tangan mewah dengan jumlah keseluruhan harta yang dirampas bernilai RM30,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Chez Kiang berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 20 Mac untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

24 dibaca
Berita Harian X