Rabu, 15 March 2017 | 10:42am

Pesakit mental bakar jururawat

GARA-GARA tidak berpuas hati dengan rawatan yang diterima, pesakit lelaki membakar seorang jururawat hidup-hidup di sebuah klinik di Israel semalam. - Foto citizen.co.za

BAITULMAQDIS: Gara-gara tidak berpuas hati dengan rawatan yang diterima, pesakit lelaki membakar seorang jururawat hidup-hidup di sebuah klinik di Israel semalam.

Suspek, berusia lingkungan lewat 70-an, melarikan diri dari dengan kereta selepas kejadian di Holon, tenggara Tel Aviv, tetapi kemudian berjaya ditangkap.

Mangsa, 56, yang meninggal dunia akibat kejadian itu dikenal pasti sebagai Tova Kararo.

Pegawai polis di tempat kejadian memberitahu laman berita, Ynet bahawa suspek pergi mendapatkan rawatan di klinik di Holon.

"Kami difahamkan dia tidak berpuas hati dan ketika bertikam lidah, suspek menyimbah cecair mudah terbakar kepada jururawat yang merawatnya," kata pegawai berkenaan.

Pengarah di perkhidmatan kesihatan Clalit, yang mengendalikan klinik berkenaan, berkata latar belakang perubatan suspek menunjukkan dia mungkin menghadapi masalah kesihatan.

Jurucakap polis mengesahkan pesakit itu memang menghadapi masalah mental tidak stabil.

Media melaporkan, dia adalah mangsa Holocaust yang menerima vaksin minggu lalu dan menyangka ia adalah cubaan meracunnya. - AFP

Berita Harian X