Rabu, 15 March 2017 | 12:00am

Redah laut sebar Islam


MAJLIS mensyahadahkan mualaf di Kepulauan Mentawai.

KEMBARA dakwah di bumi Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat Indonesia, bermula selepas pihak Surau Al-Munawwarah Seksyen 13, Shah Alam, menerima kunjungan rombongan pendakwah dari Padang yang diketuai pesara polis Indonesia berpangkat Mejar, Maat Achin, pada tahun 2013.

Beliau sempat berkongsi pengalaman menjalankan dakwah di Kepulauan Mentawai. Selesai menyampaikan pengisian pada malam itu, beliau menjemput wakil pihak surau membantu mereka menyampaikan dakwah di wilayah itu dan melihat sendiri keadaan saudara Muslim di sana.

Selepas perbincangan, pihak pengurusan memutuskan untuk memenuhi jemputan berdakwah di kepulauan itu dan rombongan kami tiba di negara jiran pada Julai 2013.

Pada peringkat awal, saya dan wakil ABIM Outreach, Khalid A Samad (dari Masjid Negeri Selangor) berlepas ke Kota Padang dan disambut oleh wakil Gerakan Muslimin Minangkabau (GMM).

Kami menginap di masjid di Padang sebelum meneruskan perjalanan menggunakan bot laju keesokan harinya selepas solat Subuh berjemaah.

Mabuk laut

Pengalaman kali pertama meredah lautan luas menggunakan bot laju turut membuatkan saya bimbang, takut mabuk. Justeru, saya tidak berani menyentuh makanan atau minuman kerana bimbang muntah atau terasa ingin membuang air di atas bot yang tiada kemudahan tandas.

Seperti dijangka, tidak sampai sejam saya berasa tidak selesa dan mula muntah. Sebenarnya ketua rombongan sudah menasihatkan kami mengisi perut dan tidur sepanjang perjalanan.

Tempoh perjalanan mengambil masa enam jam memang amat meletihkan kerana tiada tempat persinggahan, hanya lautan saujana mata memandang saja kelihatan. Namun, selepas beberapa kali ke Pulau Siberut, Pulau Pagal dan Pulau Tuapajet, saya menjadi biasa dan tidak lagi mabuk laut Kebanyakan kampung yang dilawati sepanjang kembara dakwah yang bermula sejak 2013 hingga kini, sangat daif dan tiada bekalan air bersih.

Mereka bergantung kepada air telaga yang berminyak dan jika diikutkan tidak sesuai untuk minum, tetapi mereka tiada pilihan.

Kami sendiri tidak berani mandi melihatkan keadaan air itu. Makanan asasi mereka pula ialah sagu. Walaupun hanya sesekali makan nasi tidak berlauk, tetapi penduduk kampung amat berselera menjamahnya.


PENULIS di hadapan surau sementara di Mentawai.

Hanya dua peratus amal Islam

Kami difahamkan, pernah beberapa pendakwah yang didatangkan dari Jakarta hanya dapat bertahan sebulan sahaja di sana kerana tidak tahan dengan cara hidup masyarakat di kawasan itu.

Antara pengalaman tidak dapat dilupakan sepanjang berdakwah ialah menaiki bot kecil menyusuri anak sungai untuk ke kampung di beberapa pulau di kepulauan itu. Walaupun majoriti penduduk Kristian, kami dapat bertemu keluarga Islam yang menyambut kami dengan baik.

Penduduk kepulauan itu mempunyai bahasa ibunda sendiri, oleh itu sukar untuk berkomunikasi dengan warga tua, tetapi penduduk lebih muda boleh berbahasa Indonesia.

Daripada cerita penduduk kampung, majoriti penduduk kepulauan itu pernah beragama Islam pada sekitar 1940-an.

Namun, jumlahnya semakin kecil berikutan ramai yang tidak mengamalkan Islam kerana tiada usaha dakwah dilakukan untuk memberi kefahaman mengenai agama ini.

Pada sekitar 1997, jumlah penduduk Muslim terus merudum sehingga 30 peratus dan gempa bumi serta tsunami pada 2010 turut mengurangkan jumlah penduduk Islam. Ditambah masalah ajaran sesat (budaya bumi Sikerei dan juru Selamat).

Yang benar-benar mengamalkan Islam termasuk solat dan puasa, hanyalah kira-kira dua peratus sahaja. Kebanyakan warga tua terutama ketua masyarakat juga telah meninggalkan Islam walaupun nenek moyang mereka pernah menerima dakwah Islam.

Bina masjid

Atas kesedaran dan kebimbangan itulah mendorong kami membantu usaha dakwah supaya dapat mengembalikan sinar Islam di sana. Kami juga berjaya membina Masjid Raya Al-Munawwarah pada 2014 di Gotab Siberut yang dibiayai jemaah Surau Al-Munawwarah, Shah Alam.

Usaha dakwah kami membuahkan hasil apabila beberapa penduduk Pulau Siberut mengikut kami ke Padang untuk mengucapkan syahadah dan berikrar akan mendalami Islam dengan pendakwah tempatan.

Kami juga membawa 10 kanak-kanak dan lelaki dewasa yang baru memeluk Islam ke Padang untuk berkhatan.

Dalam siri kembara ke Kepulauan Mentawai kami berpeluang mengajar anak mualaf perkara asas dalam Islam termasuk solat dan membaca al-Quran.

Kembara dakwah tetap diteruskan terutama mengenangkan pengorbanan dakwah Maat yang tidak pernah lemah walaupun badan semakin dimamah usia dalam menyampaikan bantuan dan dakwah di bumi Mentawai.

Insya-Allah kami akan kembali untuk meneruskan usaha ini.

INFO:

Pulau Mentawai

  • Terletak di Sumatera Barat, wilayah Kepulauan Mentawai merangkumi 70 pulau.
  • Antara pulau besar seperti Pulau Siberut, Pulau Sipura, Pulau Pagai Utara dan Pulau Pagai Selatan.
  • Kepulauan ini terletak kira-kira 150 kilometer di luar pesisir Sumatera.
  • Terkenal sebagai destinasi aktiviti luncur air dalam kalangan pelancong.
Berita Harian X