Selasa, 14 March 2017 | 9:28pm

Jadikan IPG pusat rujukan guru serantau


TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin (kiri) mewakili Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr Khair Yusof bersama Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Noriati A. Rashid melawat gerai jualan dan pameran pada majlis Perasmian Pesta Buku Institut Pendidikan Guru Malaysia 2017 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Pembudayaan penulisan dan penerbitan dalam kalangan pensyarah Institusi Pendidikan Guru (IPG) membantu merealisasikan matlamat menjadikan institusi itu pusat rujukan serantau dalam bidang keguruan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata matlamat itu antara petunjuk prestasi utama IPG.

"Membudayakan penulisan dan penerbitan dalam kalangan warga pendidik di IPG juga amat penting untuk menyokong Gelombang Kedua Transformasi IPG 2016-2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Buku Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) 2017 di IPG Kampus Bahasa Melayu, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

Lebih 1,000 judul buku dipamerkan sempena program berlangsung hari ini dan esok meliputi jurnal akademik, penulisan kreatif, buku sokongan dan buku teks sekolah hasil penulisan pensyarah kampus IPG seluruh negara.

Dalam pada itu, Khair berkata, budaya penulisan dapat melahirkan pensyarah dan guru yang sentiasa berfikiran aras tinggi, rajin membuat penyelidikan dan tekun menghasilkan penulisan ilmiah yang diterbitkan dan dipasarkan di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, hasil penulisan dan penerbitan yang berkualiti tinggi dan bernilai sejagat akan diterjemah ke dalam bahasa pertuturan utama di peringkat antarabangsa seperti bahasa Inggeris dan Mandarin, selain bahasa kebangsaan negara serantau.

"Budaya ini juga sejajar matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, iaitu pensyarah IPG digalakkan untuk meningkatkan kepakaran dalam bidang tertentu dan membahagikan masa mereka untuk pengajaran, penyelidikan, penulisan dan penerbitan," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X