Isnin, 29 Disember 2014 | 9:17pm

5,000 anggota ATM bantu mangsa banjir - Hishammuddin


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa (1) di Kota Bharu hari ini. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Lebih 5,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri bersama sejumlah aset daripada tiga cabang perkhidmatan darat, udara dan laut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata antara aset yang diatur gerak ialah dua helikopter Agusta, 89 trak tiga tan, 62 bot tempur, 27 Land Rover dan 19 buah trak Tatra.

Beliau berkata, empat helikopter EC725, dua helikopter Nuri dan dua pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut digerakkan sejurus banjir melanda, selain sebuah helikopter Fennec dan helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Selain ATM, kementerian turut mengerahkan sukarelawan daripada Askar Wataniah dan pelatih Program Latihan Khidmat Negara ke lokasi bencana," katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau yang diiringi Panglima ATM, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain menyampaikan bantuan keperluan asas kepada 2,000 mangsa yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa di sini.

Berhubung kebajikan warga kementerian yang terjejas akibat bencana itu, Hishammuddin berkata mereka akan diberi wang ehsan RM500 seorang.

"Kita juga akan memberi cuti tanpa rekod kepada warga kementerian bagi membolehkan mereka membaik pulih kediaman yang rosak," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X