Selasa, 14 March 2017 | 7:05pm

1,000 judul buku pensyarah IPG dipamerkan


IPG Kampus Ilmu Khas menerima Anugerah Citra Karya Dr Noriati A Rashid sempena Pesta Buku Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) 2017 di IPG Kampus Bahasa Melayu, di sini, hari ini.- Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas menerima Anugerah Citra Karya Dr Noriati A Rashid sempena Pesta Buku Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) 2017 di IPG Kampus Bahasa Melayu, di sini, hari ini.

Anugerah disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Hadiah sempena nama Timbalan Rektor IPGM, Dr Noriati A Rashid adalah anugerah keseluruhan pengkarya dan hasil karya terbanyak dalam kalangan pensyarah 27 IPG seluruh negara.

Lebih 1,000 judul buku dipamerkan sempena Pesta Buku IPGM 2017 yang berlangsung hari ini dan esok.

Dalam pada itu, Dr Noriati berkata, penganjuran program itu bertepatan Pelan Transformasi IPG 2016-2025 yang bermatlamat menjadikan institusi itu pusat latihan guru utama dalam meningkatkan standard pendidikan di negara ini melalui pendidikan guru.

"Pesta Buku IPGM 2017 boleh menjadi medium penyebaran maklumat mengenai transformasi IPG menerusi Pelan Transformasi IPG 2016-2025," katanya selepas perasmian Pesta Buku IPGM 2017, hari ini.

Berita Harian X