Selasa, 14 March 2017 | 11:54am

Wacana Adat sempena Istiadat Kerjan


PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Abd Razak Ab Said (tengah) mendengar penerangan dari Timbalan Dekan Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Afareez Al-Hafiz Abd Razak (kanan) ketika lawatan sempena Pameran Khazanah Mesir Purba di Muzium Negeri Sembilan, Seremban. Turut bersama Kurator Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Orang ramai berpeluang mengetahui dengan lebih mendalam mengenai Adat Perpatih yang diamalkan di Luak Johol dengan menghadiri Wacana Adat pada 25 Mac ini.

Program anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dan Balai Undang Luak Johol ini akan diadakan di Dewan Orang Ramai Renggoh, Johol, Kuala Pilah.

Kurator LMNS, Aziz Mohd Gorip, berkata program itu adalah antara pengisian utama sempena Istiadat Kerjan atau pertabalan Undang Luak Johol ke-15, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Muhammad Abdullah.

Katanya, wacana itu akan mengupas sejarah dan keunikan amalan Adat Perpatih di Luak Johol serta memupuk perasaan sayang terhadap warisan dan budaya negeri ini, terutama dalam kalangan golongan muda.

"Ini juga membolehkan kita mengumpul maklumat baharu berkaitan Adat Perpatih, selain memastikan warisan sejak berzaman ini terus diamalkan sehingga bila-bila," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Aziz berkata, dua ahli panel yang dijemput ialah pakar sejarah Negeri Sembilan, Dr Nadzan Harun, dan penyelidik bebas sejarah dan budaya Negeri Sembilan, Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari, manakala Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Negeri Sembilan, Datuk Sudin Kamari, sebagai moderator.

Katanya, beberapa agensi kerajaan turut mengadakan pameran sempena wacana itu, iaitu LMNS, Muzium Adat Jelebu, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Berita Harian X