Isnin, 13 March 2017 | 8:05pm
ANTARA barangan dirampas ialah dadah, pistol dan pisau.- Foto Fadly Samsudin

Dadah mirip paket minuman 3-dalam-1


KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Guan Beng Kang menunjukkan antara hasil rampasan dalam serbuan di Taman Maluri, Cheras. - Foto Fadly Samsudin

KUALA LUMPUR: Ada sindiket didapati membungkus dadah seperti paket minuman tiga dalam satu dan dikesan diedar dalam pasaran tempatan.

Modus operandi baharu yang dipercayai bertujuan mengaburi pihak berkuasa itu, dikesan selepas polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan di Taman Maluri di sini, Sabtu lalu.

Lima suspek termasuk dua pasang suami isteri turut ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Guan Beng Kang, berkata sindiket itu terbongkar susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun pada hari sama.

"Hasil soal siasat, kita menyerbu sebuah apartmen di Taman Maluri lalu menahan sepasang suami isteri warga tempatan serta dua wanita warga Vietnam.

"Seorang daripada wanita Vietnam itu adalah isteri suspek pertama.

"Dalam serbuan itu, kita merampas 187 biji pil Ecstacy, 41 kapsul mengandungi serbuk Ecstacy, 10 biji pil Erimin 5 dan tiga paket plastik masing-masing berisi dadah jenis syabu, ketamin serta ganja.

"Rampasan dianggar bernilai RM97,000," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, sindiket itu dikesan menumbuk Ecstacy menggunakan lesung sehingga menjadi serbuk sebelum dibungkus semula menjadi paket menyerupai minuman tiga dalam satu.

"Dadah itu dicampurkan ke dalam minuman dan siasatan mendapati setiap botol dijual pada harga RM200 hingga RM300 kepada pelanggan di pusat hiburan sekitar ibu negara.

"Kita turut merampas sepucuk pistol angin jenama Desert Eagle 50AE, tiga bilah pedang samurai, satu lesung batu dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan menghasilkan dadah terbabit," katanya.

Beng Kang berkata, semua suspek direman tujuh hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 (memiliki senjata tiruan) serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

22 dibaca
Berita Harian X