Isnin, 29 Disember 2014 | 4:30pm
Laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia di http://www.met.gov.my/

Keadaan banjir di Pahang, Johor, Selangor tidak banyak berubah

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pahang, Johor dan Selangor masih tiada perubahan ketara setakat ini.

Jumlah mangsa di pusat pemindahan di Pahang kekal 33,225 orang, Johor (328) dan Selangor (33) tengah hari tadi.

Setakat 3 petang, tiada maklumat terkini diperoleh mengenai jumlah mangsa banjir di negeri Kelantan kecuali 151,072 orang yang direkodkan pagi tadi.

Di PAHANG, Temerloh kekal menjadi daerah mangsa banjir paling ramai iaitu 12,012 orang, Kuantan (3,046), Pekan (4,873), Maran (3,479), Jerantut (6,025) , Bera (1,491) dan Lipis (2,299).

Di JOHOR, Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor menyatakan 328 mangsa banjir daripada 84 keluarga itu berada di sembilan pusat pemindahan di Muar, Batu Pahat, Segamat dan Kluang.

Di SELANGOR, 33 mangsa banjir dari beberapa kampung di Klang itu ditempatkan di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir turun kepada 32,782 orang berbanding 33,292 orang pagi tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, lebih 500 daripada 21,738 mangsa di Kemaman dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan banjir beransur surut tengah hari ini.

Bagaimanapun, bilangan mangsa di daerah lain tidak berubah iaitu Dungun 10,138 orang, Hulu Terengganu (149) dan Kuala Terengganu (759).

Di PERAK, jumlah mangsa yang dipindahkan di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Kerian setakat tengah hari ini turun sedikit kepada 7,540 orang berbanding 7,813 orang pagi tadi.

Menurut jurucakap MKN Perak, bilangan mangsa di Perak Tengah ialah 4,132, Kuala Kangsar merangkumi Sungai Siput (2,371), Hulu Perak (788) dan Kerian (293).

Portal banjir negeri Kelantan menyatakan paras air Sungai Kelantan dan Sungai Golok masih di atas paras bahaya.

- BERNAMA

Berita Harian X