Isnin, 13 March 2017 | 11:06am

Kes bot karam dipindah


VIN Jee hadir ke mahkamah untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret, Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Izhari Ariffin

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi membenarkan kes pemilik bot katamaran yang karam di perairan Pulau Mengalum pada 28 Januari lalu, dipindahkan ke Mahkamah Pelancongan.

Majistret Stephanie Sherron Abbie mengambil keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nartiah F Mirchelle Sambatan yang meminta kes itu dipindahkan ke Mahkamah Pelancongan.

Tertuduh, Leong Vin Jee, 44, didakwa membawa pelancong menggunakan pengangkutan air yang tidak selamat, mengetahui bahawa botnya membawa lebih kapasiti iaitu 12 penumpang dengan memuatkan 28 pelancong China di jeti Kampung Tanjung Aru Lama di sini, pada 28 Januari lalu.

Bot terbabit yang turut membawa seorang juragan dan dua kru karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum menyebabkan empat maut, manakala lima lagi masih hilang.

Vin Jee sebelum ini mengaku tidak bersalah dan dikenakan jaminan RM5,000.

Peguam bela Edward Paul yang mewakili Vin Jee tidak membantah keputusan itu.

Terdahulu, Nartiah mengemukakan permohonan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Pelancongan atas alasan tertuduh mungkin dikenakan beberapa pertuduhan lain.

Katanya permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 177 Kanun Prosedur Jenayah dan tarikh sebutan semula kes itu akan ditetapkan Mahkamah Pelancongan dalam minggu ini.

Berita Harian X