Isnin, 13 March 2017 | 10:29am

48 PATI ditahan


ANTARA 48 pendatang asing termasuk bayi berusia sembilan bulan yang ditahan Pasukan Polis Marin ketika bersembunyi dalam hutan sepanjang pantai Punggai, Sungai Rengit di Kota Tinggi, malam tadi. - Foto NSTP

KOTA TINGGI: Seramai 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas dikesan disembunyikan kumpulan sindiket dalam sebuah hutan sekitar pantai Punggai, Sungai Rengit di sini, malam tadi.

Lebih mengejutkan, semua 48 PATI warga Indonesia termasuk empat perempuan dan seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan dibiarkan kelaparan dan tidak diberi makanan selama dua hari ditinggalkan dalam hutan itu.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Superintendan Shaari Ariffin, berkata semua PATI berusia antara sembilan bulan hingga 49 tahun itu dikesan ketika anggotanya melakukan Operasi Landai antara jam 8 hingga 9 malam tadi.

Katanya, operasi yang dijalankan adalah hasil maklumat risikan terhadap aktiviti penyeludupan manusia yang menggunakan jalan laut dan semua PATI ditahan dipercayai mahu pulang ke Indonesia.

"Pada jam 8 malam, kumpulan PATI itu dikesan sedang bersembunyi dalam hutan sejak dua hari lalu dan tidak diberi makan oleh kumpulan sindiket sepanjang tempoh menunggu bot di situ untuk pulang ke negara asal.

"Hasil siasatan awal, semua PATI yang ditahan mengaku secara lisan ingin pulang ke Indonesia dengan menggunakan bot pancung menggunakan jalan yang tidak diwartakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shaari berkata, semua mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan cuba keluar menerusi jalan yang tidak diwartakan.

"Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi Landai semalam membabitkan dua aset PPM iaitu Bot Ronda PSC 48 dan RH 32," katanya.

14 dibaca
Berita Harian X