Isnin, 13 March 2017 | 12:18am

Wenger mahu kekal bersama Arsenal


ARSENE Wenger. - Foto AFP

LONDON: Arsene Wenger tidak menolak kemungkinan memanjangkan khidmatnya bersama Arsenal selepas skuad itu mencatat kemenangan 5-0 ke atas pasukan kerdil, Lincoln pada suku akhir Piala FA, semalam.

Wenger berdepan desakan meletak jawatan daripada penyokong Arsenal yang berang minggu ini selain protes terhadap pengurus dari Perancis itu sebelum aksi di Stadium Emirates.

Arsenal melangkah selesa ke separuh akhir di Stadium Wembley bulan depan dengan pelbagai kritikan kekal di belakang Wenger, beberapa hari selepas mereka berdepan kekalahan memalukan kepada Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara.

Pengendali skuad Gunners itu belum mengesahkan sama ada akan melanjutkan kontraknya yang tamat akhir musim ini dan mendakwa keutamaannya adalah terhadap tanggungjawab ke atas kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan tempoh khidmatnya bersama Arsenal.

"Jangan kita terlalu banyak bercakap mengenai saya, kerana apa yang berlaku banyak perkara baharu.

"Saya sudah membuktikan dalam hidup saya, bahawa saya cuba berkhidmat untuk kelab ini dengan komitmen penuh dan saya akan berbuat demikian selagi saya di sini," kata Wenger.

"Berapa lama? Buat masa ini saya tidak tahu. Saya sudah menunjukkan kesetiaan tinggi dan pilihan saya ada di sini.

"Saya memberi tumpuan kepada tugas saya. Saya sentiasa melakukannya. Saya membiarkan orang lain menilai persembahan saya." - AFP

Berita Harian X